Udara adalah satu keperluan hidup. Udara yang
bersih menjamin suasana kehidupan yang lebih selesa. Kita mampu hidup selama beberapa minggu tanpa makanan.
Kita juga mampu hidup tanpa air selama beberapa hari tetapi kita akan mati
dalam tempoh 4 minit tanpa udara. Dalam dunia yang semakin moden dan tercemar
ini, kita bukan sahaja memerlukan udara tetapi udara yang bersih untuk terus
hidup. Secara umumnya, kualiti udara boleh dikategorikan kepada 2 iaitu udara
bersih dan udara tercemar.
Udara bersih wujud secara semulajadi. Udara
bersih adalah sangat penting ke arah kualiti hidup yang lebih baik untuk
manusia, haiwan dan juga tumbuhan. Udara tercemar pula adalah campuran udara
bersih dengan bahan bergas ataupun partikel yang dibebaskan ke atmosfera oleh
pelbagai aktiviti.
Pelepasan dari kenderaan bermotor,
perindustrian, pembakaran terbuka bahan buangan dan lain-lain aktiviti manusia
menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Tahap pencemaran udara yang umum
terutama di kawasan bandar akan menjejaskan kesihatan manusia, haiwan,
tumbuhan, bangunan dan sebagainya. Kemerosotan kualiti udara ini berpunca dari
bahan pencemar yang dilepaskan ke udara secara terus ataupun melalui tindakan
kimia.
Udara tercemar menyebabkan gangguan kepada
kesihatan manusia terutama sekali kepada sistem pernafasan yang akan
mengakibatkan gangguan pada paru-paru dan jantung, batuk kering atau lelah dan
juga boleh membawa kepada ancaman kanser.
Penyelesaian kepada isu pencemaran udara telah
tersedia untuk diaplikasikan tetapi ia memerlukan komitmen semua pihak yang
terlibat. Dalam erti kata lain, penyelesaian secara teknikal sahaja seperti
penggunaan air filter di kilang-kilang atau catalytic converter
dalam kereta adalah tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan dalam
perancangan seperti mempromosikan pengangkutan awam ke arah pembangunan bandar
yang mengamalkan prinsip pengurangan penggunaan kenderaan bermotor. Kita
memerlukan perubahan dalam sistem pengangkutan bagi mengelakkan penggunaan
kereta yang terlalu kerap. Tahukah anda bahawa kenderaan bermotor menyumbang
kepada sekurang-kurangnya 60 - 70% kadar pencemaran udara di bandar-bandar
utama.
Masyarakat hari ini
telah mula sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar dan kesedaran ini
perlulah dipertingkatkan di setiap peringkat umur khasnya di kalangan generasi
baru. Masyarakat perlu sedar mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara
kualiti udara.
terima kasih kerana kongsi pengetahuan
BalasPadamNota cikgu sangat memanfaatkan. Terima kasih.
BalasPadamNota yang ringkas dan jelas akan memudahkan kefahaman murid.
BalasPadam