Sabtu, 8 Disember 2012

UDARA


Udara adalah satu keperluan hidup. Udara yang bersih menjamin suasana kehidupan yang lebih selesa. Kita mampu hidup selama beberapa minggu tanpa makanan. Kita juga mampu hidup tanpa air selama beberapa hari tetapi kita akan mati dalam tempoh 4 minit tanpa udara. Dalam dunia yang semakin moden dan tercemar ini, kita bukan sahaja memerlukan udara tetapi udara yang bersih untuk terus hidup. Secara umumnya, kualiti udara boleh dikategorikan kepada 2 iaitu udara bersih dan udara tercemar.
 

Udara bersih wujud secara semulajadi. Udara bersih adalah sangat penting ke arah kualiti hidup yang lebih baik untuk manusia, haiwan dan juga tumbuhan. Udara tercemar pula adalah campuran udara bersih dengan bahan bergas ataupun partikel yang dibebaskan ke atmosfera oleh pelbagai aktiviti.
 

Pelepasan dari kenderaan bermotor, perindustrian, pembakaran terbuka bahan buangan dan lain-lain aktiviti manusia menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Tahap pencemaran udara yang umum terutama di kawasan bandar akan menjejaskan kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, bangunan dan sebagainya. Kemerosotan kualiti udara ini berpunca dari bahan pencemar yang dilepaskan ke udara secara terus ataupun melalui tindakan kimia.

 
Udara tercemar menyebabkan gangguan kepada kesihatan manusia terutama sekali kepada sistem pernafasan yang akan mengakibatkan gangguan pada paru-paru dan jantung, batuk kering atau lelah dan juga boleh membawa kepada ancaman kanser.
 

Penyelesaian kepada isu pencemaran udara telah tersedia untuk diaplikasikan tetapi ia memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat. Dalam erti kata lain, penyelesaian secara teknikal sahaja seperti penggunaan air filter di kilang-kilang atau catalytic converter dalam kereta adalah tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan dalam perancangan seperti mempromosikan pengangkutan awam ke arah pembangunan bandar yang mengamalkan prinsip pengurangan penggunaan kenderaan bermotor. Kita memerlukan perubahan dalam sistem pengangkutan bagi mengelakkan penggunaan kereta yang terlalu kerap. Tahukah anda bahawa kenderaan bermotor menyumbang kepada sekurang-kurangnya 60 - 70% kadar pencemaran udara di bandar-bandar utama.
 

Masyarakat hari ini telah mula sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar dan kesedaran ini perlulah dipertingkatkan di setiap peringkat umur khasnya di kalangan generasi baru. Masyarakat perlu sedar mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara kualiti udara.
 
 
 
 

 

3 ulasan: